BUTTERWORTH: Seorang pengawal keselamatan berusia 47 tahun direman empat hari selepas bertindak ganas menyerang ibunya sendiri dalam kejadian tragis di sebuah flat di Mak Mandin, semalam.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Suspek, yang merupakan anak kedua mangsa, tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 11.20 pagi dengan berpakaian lokap ungu dan diiringi anggota polis.
Menurut sumber, kejadian berlaku sekitar jam 12.30 tengah hari ketika mangsa berusia 72 tahun baru pulang dari menghadiri kelas agama di masjid berhampiran.
Tanpa amaran, suspek menghalau ibunya keluar dari rumah sebelum menyerang dengan kejam.
Lebih memilukan, lelaki itu turut mencungkil mata ibunya selain menikam mangsa menggunakan objek tajam hingga menyebabkan kecederaan serius di beberapa bahagian badan.
Jeritan mangsa berjaya menarik perhatian jiran yang segera menyelamatkan wanita itu dan menghantarnya ke hospital.
Difahamkan, mangsa menerima jahitan di muka akibat serangan berkenaan.
Bertindak atas maklumat, polis menahan suspek di rumah sama.
Ujian saringan mendapati dia positif dadah serta baru dibebaskan daripada pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pada 2 September lalu.
Polis turut mengesahkan suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan narkotik serta sering mengamuk sejak pulang dari AADK.