Anak Gajah Maut Dilanggar Di Laluan Gerik-Jeli

SEEKOR anak gajah ditemui mati di tepi Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik – Jeli berhampiran Rancangan Penempatan Semula (RPS) Banun, Gerik semalam.

Anak gajah jantan dianggar berusia empat hingga lima tahun itu dipercayai mati akibat dilanggar kenderaan berat.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff, berkata anak gajah terbabit dipercayai terlanggar atau dilanggar lori atau bas, bagaimanapun setakat petang semalam tiada pihak tampil membuat laporan.

Katanya, bangkai gajah yang mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan itu sudah ditanam di kawasan hutan berhampiran oleh anggota Perhilitan Gerik tengah hari semalam.
“Kita percaya anak gajah berusia antara empat dan lima tahun itu dilanggar atau terlanggar oleh lori atau bas, bukan kereta kecil, tetapi setakat petang semalam belum ada pihak melaporkan mengenainya,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Yusoff berkata, pihaknya berharap pengguna jalan raya lebih berhati-hati ketika melalui laluan berkenaan terutama di kawasan hutan.
Katanya, kawasan hutan kiri dan kanan jalan raya berkenaan memang diketahui umum sebagai habitat hidupan liar, terutama gajah dan pihaknya turut memasang beberapa papan tanda peringatan di sepanjang jalan raya berkenaan.

“Apa yang kita bimbangkan kawanan gajah mungkin akan menyerang sekiranya merasakan mereka terancam, apatah lagi jika terdapat anak kecil dalam kawanan itu.

“Melihat kesannya di tempat kejadian memang gajah itu dalam kumpulan yang pada anggaran kami antara 10 dan 14 ekor,” katanya

Latest articles

Related articles

spot_img