KUALA LUMPUR: Amnesty International dalam satu kenyataan mendakwa bahawa kebebasan bersuara di Malaysia berada pada tahap paling membimbangkan, dengan situasi pada tahun 2024 digambarkan sebagai berubah “daripada buruk kepada lebih buruk”.
Dalam Laporan Tahunan Keadaan Hak Asasi Manusia Sedunia 2024 yang dilancarkan hari ini, organisasi hak asasi manusia itu mendakwa kerajaan bukan sahaja gagal menghapuskan undang-undang menindas, malah memperhebatkan tindakan mengekang suara rakyat.
“Janji-janji semasa pilihan raya umum untuk memansuhkan undang-undang zalim tinggal janji,” kata Pengarah Eksekutif Interim Amnesty International Malaysia, Vilasini Vijandran.
“Sebaliknya, kerajaan memperkasa penggunaan undang-undang seperti Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 untuk menekan kebebasan bersuara.”
Menurutnya, seniman satira Fahmi Reza dan aktivis Mukmin Nantang adalah antara individu yang menjadi mangsa penyalahgunaan undang-undang tersebut, dengan mereka disiasat atau ditahan hanya kerana mengkritik dasar dan memperjuangkan hak komuniti terpinggir seperti Bajau Laut.
Amnesty juga membidas pindaan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia serta pengenalan Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian 2024 yang didakwa memperluas kuasa kerajaan untuk menapis kandungan media sosial dan mengenakan pelesenan secara sewenang-wenangnya ke atas platform digital.
“RUU Keselamatan Dalam Talian diluluskan secara tergesa-gesa tanpa ketelusan dan pengawasan sewajarnya. Ini membuka ruang kepada kawalan lebih ketat terhadap wacana dalam talian,” ujar Amnesty dalam kenyataan itu.
Laporan itu turut mendedahkan bagaimana hak berhimpun secara aman terus ditekan dengan penggunaan Akta Perhimpunan Aman 2012 dan undang-undang punitif lain untuk menghukum peserta protes aman.
Antaranya, penahanan pelajar Bajau Laut yang mengadakan protes kecil di Sabah bagi menuntut akses air bersih disifatkan Amnesty sebagai tindakan “memalukan” dan contoh jelas kerajaan menyasarkan golongan paling terpinggir.
Kerajaan juga ditegur kerana mengambil tindakan terhadap peserta Women’s March Malaysia dan mereka yang menuntut keadilan atas kematian Teoh Beng Hock.
Lebih membimbangkan, Amnesty turut menekankan isu layanan terhadap pelarian, migran dan tahanan, dengan sekurang-kurangnya 24 kematian dilaporkan dalam tahanan polis dari tahun 2022 hingga pertengahan 2024, serta dakwaan penyeksaan yang belum ditangani dengan telus.
“Malaysia perlu segera menamatkan budaya impunitas dan menghormati komitmen hak asasi manusia,” tegas Vilasini.
Laporan global itu meliputi 150 negara dan menggambarkan bagaimana suara pembangkang terus dijenayahkan melalui penapisan, pengawasan berlebihan dan keganasan yang disokong negara.