KUALA LUMPUR: Dua pempengaruh Malaysia,vAmmar Mohd Nzahan dan Aras Abdullah yang merema kandungan media sosial palsu di Bandung, Indonesia boleh didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung melakukan sebaran yang tidak wajar.
Mengikut kesalahan di bawah Seksyen 233 penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, mereka boleh disabitkan dan didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
Malah, sekiranya didapati masih melakukan kesalahan sama selepas pensabitan, mereka juga boleh dikenakan denda RM1,000 bagi setiap hari (kesalahan selepas sabitan) atau sebahagian daripadanya sehari.
Memetik BH, Peguam Haziq Aizuddin Subhi berkata, kesalahan di bawah Seksyen 233 bermaksud sebarang penggunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi secara sedar.
Ini merangkumi pembuatan, penciptaan atau meminta serta memulakan penyebaran sebarang komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, tidak senonoh, palsu, mengancam atau menyinggung perwatakan dengan niat untuk mengganggu, mendera, mengugut atau mengganggu orang lain.
“Atau memulakan komunikasi menggunakan mana-mana perkhidmatan aplikasi sama ada secara berterusan, berulang kali atau sebaliknya semasa komunikasi mungkin atau mungkin tidak berlaku, dengan atau tanpa mendedahkan identiti dan dengan niat untuk mengganggu, menyalahgunakan, mengancam atau mengganggu mana-mana orang di mana-mana nombor atau alamat elektronik, melakukan kesalahan.
“Ia juga menyatakan, seseorang secara sedar, melalui perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi, menyediakan sebarang komunikasi lucah untuk tujuan komersial kepada mana-mana orang;
“…atau membenarkan perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi di bawah kawalan orang itu digunakan untuk aktiviti yang diterangkan dalam perenggan (a), melakukan satu kesalahan,” katanya.
Terdahulu Ammar dan Aras dikritik ramai pihak berhubung kandungan media sosial mereka yang mendakwa salah seorang rakan mereka hilang di dalam sebuah hutan di Bandung.
Kedua-dua individu berkenaan kemudiannya membuat permononan maaf secara terbuka.
Melalui video dimuat naik portal berita Indonesia, KumparanNews di laman sosial mereka, Ammar dan Arasmemohon maaf atas kejadian itu dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.
Kelmarin, polis Indonesia berkata dua pempengaruh berkenaan hanya berlakon berhubung kehilangan rakan mereka.
Ditanya mengenai kandungan melampau dua pempengaruh itu, Haziq Aizuddin secara peribadi bersetuju agar pihak MCMC mengambil tindakan wajar dan tegas sebagai pengajaran serta tegahan agar para pencipta kandungan lain tidak sewenang-wenangnya membuat langkah yang boleh merisikokan imej negara.
“Berdasarkan pemerhatian, insiden yang diterbitkan oleh pencipta kandungan itu sudah disahkan sebagai palsu dan wujud keterangan rasmi daripada pihak berkuasa juga memenuhi elemen serta peruntukan di bawah Seksyen 233.
“Meneliti beberapa siaran media yang tular, ternyata wujud elemen palsu yang disahkan oleh pihak berkuasa Indonesia sekali gus berpotensi menjadikan nama negara sebagai bahan jenaka oleh pencipta kandungan tempatan mahupun antarabangsa.
“Soalnya terletak pada pihak berkuasa sama ada mahu bertindak tegas atau sebaliknya,” katanya.
Katanya, sudah tiba masanya untuk negara mewujudkan satu jabatan yang bertujuan memantau kandungan sebegini agar ia tidak melampau dan tidak membabitkan unsur yang boleh menjejaskan nama negara.