Amirudin Angkat Sumpah MB Selangor Penggal Kedua

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Negeri Sungai Tua, Datuk Seri Amirudin Shari mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor penggal kedua di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini.

Amirudin, 43, dilantik semula jawatan sama dalam Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Menteri Besar Selangor di Balairung Seri Istana Alam Shah, di sini, 11 pagi tadi.

Terdahulu, Amirudin bersama isterinya, Datin Seri Masdiana Muhamad menaiki kenderaan rasminya, Toyota Camry berwarna hitam tiba di pekarangan Istana Alam Shah kira-kira jam 10.45 pagi.

Hadir berangkat mencemar duli Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Sementara itu, Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Selangor akan berlangsung pada 21 Ogos 2023 di Balairung Seri, Istana Alam Shah, di sini jam 2 petang ini.

Amiruddin Shari berjaya mempertahankan kerusi Dewan Negeri Sungai Tua dengan 19,678 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Hanif Jamaluddin yang mendapat 14,493 undi dan calon Bebas, Suman Gopal, 430 undi.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Amirudin yang juga Naib Presiden PKR menang dengan majoriti 11,374 di Dewan Negeri Sungai Tua selepas menewaskan calon dari BN, Pas dan Bebas.

BBerkaitan

Latest articles