PUTRAJAYA – Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilantik menjalankan tugas dan fungsi Menteri Ekonomi berkuat kuasa serta-merta, susulan peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli.
Pelantikan itu dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dimaklumkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 25 Jun lalu, menurut Ketua Setiausaha Negara merangkap Setiausaha Jemaah Menteri, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
“Tanggungjawab utama beliau adalah mengolah dan merombak semula inti pati Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada 31 Julai 2025,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, proses semakan semula itu akan mengambil kira maklumat tambahan daripada pelbagai kementerian serta pandangan yang dikemukakan oleh ahli Jemaah Menteri.
Pelantikan ini susulan pengunduran Rafizi Ramli yang berkuat kuasa 17 Jun lalu. Rafizi sebelum ini menyatakan kekalahan beliau dalam pemilihan Timbalan Presiden PKR menyebabkan beliau tidak lagi memiliki mandat parti untuk meneruskan pelaksanaan agenda rakyat dalam kerajaan.
Pada 28 Mei, Perdana Menteri turut mengesahkan menerima permohonan cuti serta surat peletakan jawatan Rafizi sebagai anggota Kabinet.
Sementara itu, Mengulas pelantikan dirinya , Amir Hamzah merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas kepercayaan yang diberikan.
“Keutamaan saya kini adalah untuk memuktamadkan naskhah RMK13. Pelbagai maklum balas telah diterima yang mencadangkan agar dokumen ini disusun semula agar lebih jelas memaparkan dasar keutamaan Kerajaan MADANI dan kesinambungan agenda pembaharuan Ekonomi MADANI,” katanya.
Amir Hamzah kini memegang dua portfolio penting dalam pentadbiran – sebagai Menteri Kewangan II dan pemangku Menteri Ekonomi – menjelang pembentangan RMK13 yang akan menjadi dokumen dasar utama pembangunan negara bagi tempoh lima tahun akan datang.