Ameer Ali Gusar Bekalan Telur Masih Tak Cukup

KUALA LUMPUR: Tindakan segera perlu diambil untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan telur di pasaran, demikian menurut pengusaha rangkaian pasar raya besar Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin.

“Kami telah semak di lapangan, di pelbagai pasar raya dan pasar raya besar di seluruh negara. Setakat 10 pagi, di mana-mana rak (telur) kosong,” katanya memetik FMT.

Beliau berkata, orang ramai mendakwa isu kekurangan telur telah selesai berikutan perubahan kerajaan, dengan gambar menunjukkan bekalan telur yang banyak di pasar raya menjadi tular.

“Orang ramai tak boleh harap keajaiban berlaku. Saya pasti Datuk Seri Anwar (Ibrahim) maklum tentang kekurangan (bekalan telur) dan sedang menanganinya,” katanya.

“Pengeluar memberitahu kami, masalah kos pengeluaran lebih tinggi daripada harga siling telur yang ditetapkan menjadi punca kekurangan (bekalan).

Sebelum ini, harga siling telur di Semenanjung Malaysia ialah 45 sen bagi Gred A, 43 sen (Gred B) dan 41 sen (Gred C).

Bagi Langkawi, Sabah, Sarawak dan Labuan pula, harga siling berbeza mengikut zon dan daerah.

Pengarah urusan Mydin itu juga berkata kerajaan perlu memansuhkan harga siling bagi telur.

“Jika kerajaan mahu kekalkan harga siling, maka patut pertimbang larang eksport telur ke Singapura dan Hong Kong bagi memastikan bekalan berterusan bagi pasaran tempatan.

“(Perayaan) Krismas sudah hampir, Tahun Baharu Cina pada Januari. Hari Raya pula pada April, ini bermaksud penjual biskut raya akan mula membuatnya pada Januari.

“Jika masalah kekurangan bekalan telur berterusan, kita akan alami kekurangan bekalan biskut juga, dan harga akan naik,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles