Ambil Vaksin, Dos Penggalak Untuk Kawal Pandemik – Agong

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meminta rakyat yang belum mendapatkan vaksinasi COVID-19 supaya berbuat demikian.

Bertitah sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2022 di Istana Negara, semalam, baginda turut menggesa orang ramai mendapatkan dos penggalak bagi memastikan negara dapat mengawal pandemik COVID-19.

“Negara masih lagi belum bebas daripada pandemik COVID-19, justeru marilah kita bersama-sama mematuhi panduan dan peraturan dalam usaha untuk memerangi COVID-19 yang digariskan kerajaan beta,” titah baginda.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke istiadat itu.

Pada majlis itu, baginda mengurniakan darjah kebesaran, bintang dan pingat kepada 263 penerima sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2022.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah bertitah, rakyat Malaysia perlu bersama-sama mengulangi iltizam untuk terus mengeratkan perpaduan dan menghindari perpecahan.

“Sesungguhnya asas kekuatan sebuah negara adalah ikatan perpaduan dan semangat seia sekata dalam menjunjung prinsip Rukun Negara demi memastikan kedaulatan tanah tumpahnya darah ini terus terpelihara,” titah baginda.

BBerkaitan

Latest articles