‘Ambavayur Taka!’ – Penduduk Pedalaman Tuntut Pembangunan Segera Di Pensianga

PENSIANGAN: Seruan “Ambavayur Taka” yang bermaksud bersatulah kita menjadi gema kempen PRN Sabah ke-17 di Sook dan Nabawan, mencerminkan suara pengundi pedalaman yang mahukan pembangunan lebih cepat dan menyeluruh.

Tinjauan mendapati penduduk luar bandar semakin berani menyuarakan isu lama yang belum selesai termasuk jalan raya, telekomunikasi, pendidikan, peluang ekonomi dan fasiliti kesihatan selepas pengalaman perjalanan hampir tujuh jam dari Kota Kinabalu ke pedalaman merentasi laluan berbukit dan jalan balak menggambarkan realiti sebenar.

Di Sook, kerjasama BN dan PH dilihat lebih tersusun dengan calon BN, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup menekankan kepentingan kestabilan melalui kerajaan perpaduan.

Beliau yang sebelum ini membawa pelbagai projek pembangunan utama di Pensiangan kini berdepan saingan lima penjuru.

Di Nabawan pula, penyandang GRS, Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin terus mendapat sokongan kuat daripada STAR walaupun parti itu keluar daripada gabungan tersebut.

STAR Nabawan menegaskan sokongan mereka demi memastikan kesinambungan pembangunan yang sedang berjalan.

Pengundi Nabawan, termasuk anak muda Rinah Tangian, berharap kerajaan baharu memberi tumpuan kepada bantuan pendidikan dan kos pelajar pedalaman, manakala penduduk seperti Marianah Andawak mahu projek kampung disiapkan sepenuhnya tanpa terhenti separuh jalan.

Secara keseluruhan, pengundi pedalaman dinamik PRN kali ini dilihat lebih pragmatik memilih calon berdasarkan rekod, kehadiran jentera dan kemampuan membawa perubahan nyata, bukan sekadar warna parti.

BBerkaitan

Latest articles