AmBank Kesal Insiden Gelandangan Disiram, Disepak, Akan Ambil Tindakan

SHAH ALAM: AmBank tampil memberikan penjelasan selepas tular video menunjukkan seorang gelandangan disiram air dan disepak ketika berbaring di kaki lima AmBank cawangan Taman Maluri, sehingga mengundang kemarahan orang ramai.

Dalam kenyataan rasmi, pihak bank menegaskan mereka amat prihatin terhadap kejadian tersebut dan kesal dengan tindakan tidak berperikemanusiaan itu.

AmBank menjelaskan bahawa individu yang menyiram air berkenaan adalah pengawal keselamatan daripada syarikat luar yang dilantik sebagai penyedia perkhidmatan keselamatan, bukannya kakitangan bank.

“Kami mengingatkan semua wakil organisasi termasuk vendor dan rakan kerjasama supaya mengekalkan profesionalisme setiap masa. Tiada sesiapa patut diperlakukan sebegitu. Keselamatan, maruah dan kesejahteraan sesiapa sahaja di dalam atau di luar premis bank adalah keutamaan kami,” kata kenyataan tersebut.

AmBank turut memaklumkan bahawa mereka akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan dan berjanji memastikan insiden seperti itu tidak berulang.

Video tular berdurasi 35 saat itu memaparkan seorang pengawal keselamatan wanita menyiram air ke arah gelandangan berkenaan, dipercayai sebagai tindakan menghalau.

Seorang lelaki yang dipercayai tukang kasut turut dirakam menendang mangsa sambil mengarahkannya pergi.

Tindakan kedua-dua individu itu mencetuskan kecaman hebat di media sosial, dengan rata-rata pengguna menyifatkan perlakuan tersebut sebagai tidak berperikemanusiaan dan tidak wajar dilakukan terhadap sesiapa pun.

BBerkaitan

Latest articles