PUTRAJAYA: Seorang bekas guru tahfiz dihantar terus ke penjara hari ini selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 10 tahun serta satu sebatan atas dua pertuduhan amang seksual fizikal terhadap seorang murid lelaki berusia 11 tahun.
Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Azman Abdullah bersama Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz menolak rayuan akhir Tengku Mohammad Khaireel Tengku Wahab, 32, secara sebulat suara.
Mahkamah turut mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan pada 17 Oktober 2023, yang menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan, berkuat kuasa serentak.
“Mangsa ketika memberi keterangan menangis akibat trauma. Kejadian berlaku berulang kali sepanjang tahun 2020 di bilik guru dan warden,” kata Hakim Azman ketika membacakan keputusan.
Beliau menegaskan bahawa keterangan mangsa menyokong kes pendakwaan dan tidak bersifat rekaan semata-mata.
“Mangsa adalah seorang kanak-kanak yang ketika itu berusia 11 tahun, dan tertuduh adalah guru serta warden yang sepatutnya menjadi pelindung. Malangnya, kepercayaan itu dikhianati dengan perbuatan jijik,” katanya lagi.
Tengku Mohammad Khaireel didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di bilik warden asrama sebuah sekolah tahfiz di Kuantan pada jam 11.30 malam, 1 Disember 2020.
Beliau berdepan dua pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang membawa hukuman maksimum 20 tahun penjara dan sebatan jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan pada 20 Disember 2022.
Namun, Mahkamah Tinggi kemudian meminda hukuman kepada 10 tahun penjara dan satu sebatan setiap pertuduhan.
Peguam tertuduh, Mohd. Shuhairil Ziqrul Sapi dan Rahiza Zulkifli, dalam hujahan mereka mendakwa keterangan mangsa tidak konsisten dan memberikan tiga versi berbeza semasa siasatan di balai polis, Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) dan ketika soal siasat.
“Pendakwaan juga gagal memanggil dua lagi saksi kanak-kanak yang tidur dalam bilik sama untuk memberi keterangan, walaupun saiz bilik kecil dan bunyi katil boleh didengar,” hujah peguam.
Namun, hujahan itu dibidas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aznee Salmie Ahmad, yang menyatakan keterangan mangsa kekal konsisten dan tidak direka-reka.
“Tertuduh tidak menafikan bahawa mangsa tidur di biliknya malam itu. Mangsa trauma dan bergantung harap pada guru sebagai penjaga di asrama. Tapi kepercayaan itu dikhianati,” ujarnya.
Panel hakim menegaskan bahawa hukuman yang dijatuhkan tidak melampau dan perlu menjadi pengajaran kepada masyarakat agar menjauhi perbuatan menjijikkan terhadap kanak-kanak.
“Hukuman ini perlu memberi mesej yang jelas kepada masyarakat bahawa kesalahan seksual terhadap kanak-kanak adalah jenayah berat dan tidak akan dikompromi,” tegas mahkamah.