SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan terhdapa Bekas Pendakwah Selebriti, Azman Syah Alias.
Hukuman itu diputuskan selepas Azman, 43, mengaku bersalah terhadap satu lagi pertuduhan melakukan amang seksual fizikal keatas seorang remaja lelaki 17 tahun, tujuh tahun lepas.
Hakim Rasyihah Ghazali memerintahkan tertuduh menjalani hukuman di Penjara Kajang bermula hari ini.
Azman juga dikehendaki menjalani kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat hukuman penjara.
Pada prosiding sama, mahkamah turut memutuskan pertuduhan kedua yang dihadapi tertuduh sebagai ‘Take Into Consideration’ (TIC) mengikut 171A Kanun Tatacara Jenayah.
Mahkamah memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menerima representasi pada awal bulan ini, yang dikemukakan pihak pembelaan mewakili Azman pada Oktober lepas.
Menurut dua pertuduhan itu, Azman didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja 17 tahun ketika kejadian, bagi maksud seksual di sebuah inap desa di Jalan Kebun, antara 12 tengah malam hingga 2 pagi dan 5.30 pagi sekitar Sept 2017.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada 17 Dis lepas, Azman dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Seremban atas empat pertuduhan pindaan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki, dua tahun lepas.
Hakim Surita Budin turut memerintahkan Azman menjalani sesi kaunseling selain pengawasan polis masing-masing selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman.
Pada 6 Dis lalu, Azman dijatuhi hukuman penjara 14 bulan oleh Mahkamah Majistret Klang selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap seorang remaja lelaki berumur 18 tahun, dua tahun lepas.
Sebelum itu pada 27 Sept lepas Azman diperintahkan menjalani hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Klang selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki berusia 17 tahun.
Sementara itu, Zahid ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu media bahawa semua hukuman pemenjaraan yang dikenakan kepada anak guamnya itu dilaksanakan secara serentak bermula dari tarikh jatuh hukum.