KUALA LUMPUR: Pencetus Ummah (PU) Azman mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki berusia 17 tahun.
Pendakwah selebriti itu, atau nama sebenarnya Azman Syah Alias, 41, terlebih dahulu didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang pagi ini.
PU Azman membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Norhazani Hamzah.
Mengikut pertuduhan, Azman Syah melakukan kesalahan terbabit di sebuah bilik resort di Hulu Langat, pada waktu tengah hari 22 Julai lalu.
Dengan itu, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Untuk rekod Mahkamah Sesyen Ampang menjadi mahkamah ketiga PU Azman didakwa atas kes seksual selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen Klang dan Mahkamah Sesyen Seremban masing-masing pada awal bulan ini serta Oktober lalu.
Di mahkamah Seremban, PU Azman kemudian membayar jaminan RM40,000 bagi semua pertuduhan dan tertuduh dilarang menghampiri mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai, selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Manakala di mahkamah Klang pula, pendakwah itu dibenarkan membayar jaminan keseluruhan RM24,000 bersama penjamin dan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa, keluarga dan saksi pendakwaan selain melapor diri di balai polis berhampiran rumah setiap awal bulan bermula bulan ini.