KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) tidak menyekat ahlinya untuk turun ke perhimpunan “Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan” di Istana Kehakiman Putrajaya pada Januari depan.
Ketua Pemuda Amanah, Mohd. Hasbie Muda berkata, parti itu menyerahkan kepada ahli-ahlinya berhubung perkara tersebut memandangakan ia adalah hak setiap ahli.
Katanya, sehingga kini tiada ketetapan dibuat oleh pimpinan Amanah dan Harapan (PH) mengenai perhimpunan itu.
“Saya jawab (berkenaan arahan untuk turun perhimpunan) dari Amanah (setakat ini) tiada ada apa-apa arahan sama ada kerahan untuk turun atau halangan agar jangan turun.
“Terserah kepada ahli-ahli kerana itu hak masing-masing. Mungkin ada yang nak pergi untuk meninjau atau memberikan sokongan tanda solidariti. Terserah,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, tular di media sosial sepucuk surat bertarikh 28 Disember yang dikeluarkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengarahkan ahlinya berhimpun bagi ‘Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan’ pada 6 Januari depan, bermula pukul 9 pagi di Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman, Putrajaya.
Surat itu dikeluarkan kepada pesuruhjaya Pas Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang serta setiausaha sayap-sayap parti tersebut.
Mahkamah Rayuan sebelum ini menetapkan 6 Januari depan untuk mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan titah adendum.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan oleh bekas Perdana Menteri itu untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan titah adendum yang dikatakan dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.