AMANAH Dakwa Putus Hubungan UMNO-BERSATU Tak Akan Berlaku

UMNO akan berdepan dengan kerugian sekiranya ia bertindak memutuskan hubungannya dengan BERSATU, demikian dakwa Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad.

Selebihnya, ujar beliau, ugutan UMNO itu hanya sekadar ‘cakap kosong’ untuk memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas beberapa isu yang menghimpit kedua-dua pihak berkenaan.

“Letak jawatan, tarik sokongan (daripada kerajaan PN). Hasil Perhimpunan Agung UMNO, dari segi tindakan tak ada apa-apa. Tapi bila bercakap, riuh dan lebih riuh.

“UMNO sudah ambil kira keuntungan untuk diri mereka kalau tarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN). Mereka juga risau ada orang lain masuk sokong PN.

“Mungkin PKR masuk, mungkin Pakatan Harapan (PH) masuk. Mungkin Muhyiddin terdesak, beliau panggil DAP sokong, atau panggil PH supaya beliau tak jatuh,” kata Khalid.

Ahli Parlimen Shah Alam itu percaya UMNO hanya bersandiwara supaya Muhyiddin menuruti keinginan parti itu.

“Saya rasa ini semua mainan sandiwara, wayang kulit hanya untuk nak letak tekanan ke atas Muhyiddin untuk bersetuju dengan tuntutan Umno terhadap PN (Perikatan Nasional),” kata beliau dalam sesi siaran langsung di Facebook Jom Channel.

“Sebelum ini, kita dengar soal tuntutan jawatan timbalan perdana menteri, tuntutan dari kluster mahkamah, tidak dilayan, jadi mereka hanya nak buat bising nak takutkan lawan (PPBM). Belum berentap lagi,” ujarnya.

Ahad lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa parti memutuskan hubungan dengan BERSATU, malah tidak akan sesekali bekerjasama dengan DAP dan PKR.

Sementara itu, Khalid mengingatkan PH untuk memperkukuhkan kedudukan di kala PN sedang lemah dan berdepan masalah.

“Dalam keadaan kita tahu mereka (PN) tak kuat, sepatutnya kita bergerak kukuhkan PH.

“Jangan kita nak bantu UMNO, UMNO sudah tak kuat, janganlah nak kerjasama,” kata beliau, dipercayai merujuk kepada keterbukaan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bekerjasama dengan UMNO.

“PH kena bijak menangani keadaan ini. Jangan sampai kita serah tengkuk kepada UMNO,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles