Amalan monopoli tak boleh diteruskan di negara ini – Anwar

KUALA LUMPUR — Kerajaan perlu mencari jalan tidak meneruskan monopoli kerana menyifatkan amalan itu tidak menguntungkan rakyat, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar, persaingan perlu digalakkan kerana mampu menjamin keselesaan kepada rakyat secara umumnya di samping membantu ke arah pelaksanaan kos yang lebih rendah.

“Saya setuju pada prinsipnya, amalan monopoli tidak boleh diteruskan. Sebab itu, kita cari jalan. Air, umpamanya tiada monopoli kerana di bawah negeri; tenaga dengan IPP (pengeluar tenaga bebas) dan dengan pengurusan sekarang pun, nampaknya mula dipecahkan.

“Begitu juga dengan lebuh raya, tidak semua yang dibuat kerajaan dahulu kepada PLUS (PLUS Malaysia Berhad), jadi ada persaingan,” jelasnya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika memberi maklum balas terhadap soalan tambahan Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) sama ada monopoli lain oleh kerajaan seperti dalam bekalan elektrik, air dan lebuh raya serta sekolah amanah di bawah Kementerian Pendidikan akan dipecahkan dengan semangat memecahkan monopoli.

Dalam pada itu, Anwar turut menjelaskan bahawa peraturan dan syarat ketat akan dikenakan kepada syarikat telekomunikasi bagi memastikan perkhidmatan 5G dapat diberikan kepada rakyat dengan lebih baik yang dikawal Kementerian Komunikasi dan Digital dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Menurutnya, perjanjian akan terbatal sekiranya terdapat sebarang pelanggaran syarat oleh syarikat telekomunikasi yang akan menjadi entiti penyedia rangkaian kedua perkhidmatan 5G melalui Digital Nasional Bhd (DNB).

“Pengalaman kita puluhan tahun dengan syarikat telekomunikasi tidak sangat memberangsangkan. Pertamanya, isu ketersambungan dan keselesaan kepada pengguna, dan keduanya, soal kos serta bayaran (dikenakan) kepada pengguna.

“Sebab itu, dalam peraturan dan syarat ketat yang dikawal kementerian khususnya SKMM, hal ini diambil perhatian maknanya perjalanan 80 peratus (5G) yang awal dikendali dan dibiayai kerajaan itu akan ditanggung bersama oleh DNB dan syarikat telekomunikasi.

“Keduanya, syarat itu tidak boleh dilanggar. Kalau dilanggar, aspek perjanjian dengan syarikat ini akan terbatal. Sebab itu, dalam kes 4G sekarang ini, sangat tidak memuaskan kerana pengguna tidak mendapat manfaat walaupun syarikat mencatatkan keuntungan yang sangat besar,” tambahnya.

BBerkaitan

Latest articles