“Allahuakbar… Astaghfirullah!” – Suami Dituduh Kelar Isteri, Direman 7 Hari

TANGKAK: Laungan “Allahuakbar” dan “Astaghfirullah” bergema di Mahkamah Majistret Tangkak pagi tadi, apabila seorang lelaki direman tujuh hari kerana disyaki membunuh isterinya dalam kejadian tragis di Bukit Gambir, kelmarin.

Suspek berusia 33 tahun, yang juga seorang penganggur, direman sehingga 10 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 435 kerana cubaan membakar.

Majistret Lee Kim Keat mengeluarkan perintah reman selepas suspek tiba di mahkamah sekitar 8.25 pagi dengan kawalan ketat polis.

Difahamkan, ketika berada dalam lokap mahkamah, suspek berulang kali melaungkan kalimah syahadah dan istighfar.

Mangsa yang juga isterinya ditemui mati dengan kesan kelar di rumah mereka, manakala suspek turut disyaki cuba membakar rumah ibu mentuanya di Pagoh, Muar, namun hanya beberapa kenderaan di luar rumah yang terbakar.

Suspek ditahan polis selepas pulang ke rumahnya pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib mengesahkan kejadian dan memaklumkan kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

BBerkaitan

Latest articles