Allah Suka hambanya yang pendosa, dengan syarat lakukan perkara ini…

 

Menurut Ibnu Kathir dalam kitab tafsirnya, taubat nasuha bermaksud taubat yang dilakukan dengan benar dan tegas, hingga dapat menghapuskan kesalahan-kesalahan lalu, menguraikan kekusutan orang yang bertaubat, menghimpunkannya dan menyucikan kekotoran yang dilakukannya.

Dosa merupakan satu dari mata rantai yang sentiasa melingkari kehidupan setiap individu yang bergelar manusia. Ini kerana, manusia sememangnya ditakdirkan untuk tidak pernah sunyi daripada melakukan dosa dan kesalahan.

Boleh jadi pada diri seseorang terdapat banyak atau sedikit sahaja dari jenis-jenis dosa yang disedarinya, dan juga mungkin tidak. Sedang setiap perbuatan dosa itu, didefinisikan sebagai, melakukan perbuatan yang bertentangan dengan hukum-hukum Allah S.W.T. berupa perintah mahupun larangan.

Keperluan untuk melakukan taubat adalah sangat penting. Ini disebabkan manusia sering kali terlalai, dan terleka dengan nikmat serta keindahan dunia yang sementara. Sedar atau tidak, dunia dengan gelombangnya yang besar, telah menghanyutkan kita jauh ke tengah lautan nikmat, hingga kita terkapai-kapai kelemasan.

Mohonlah taubat atas segala dosa selagi bernyawa

Justeru dengan bertaubat sahaja, bermakna kita memberi ruang kepada diri untuk bermuhasabah mengenali diri, dan memahami tugas sebenar kita di muka bumi ini supaya menjadi insan yang sempurna pada pandangan Allah S.W.T.

Dari sudut fizikalnya, kita patuh dengan segala hukum, dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. Namun dari aspek rohaninya, kita mungkin tertewas tanpa disedari. Kita tidak mencuri, membunuh, menipu, rasuah, berjudi atau apa sahaja yang jelas kesalahannya.

Namun bersangka buruk, takabbur dalam percakapan, riak dalam perbuatan, ujub dan kufur dalam segala tindakan, dan sebagainya tetap mengundang dosa, hingga meraih kemurkaan Allah S.W.T. Oleh kerana itulah, kita sangat memerlukan sesuatu yang boleh menjernihkan, dan membersihkan hati, bagi mendapat keredaan Allah di dunia mahupun akhirat.

Allah sangat menyukai orang-orang yang berdosa tetapi melakukan taubat dengan sebenar-benar taubat, sebagaimana firmannya dalam surah al-Baqarah: 222,

“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang menyucikan diri.”

Pintu-pintu taubat terbuka

Tanda cintanya Allah S.W.T. kepada makhluk ciptaan Nya, dibukakan segala pintu-pintu taubat, bagi mereka yang ingin memasukinya. Ia sebagai bentuk manifestasi sifat ar-Rahman dan ar-Rahim Allah S.W.T. kepada setiap hambanya. Allah S.W.T. tidak terus menghukum mereka yang melakukan kezaliman dan kemungkaran. Bahkan Allah S.W.T. memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk menyedari segala kesilapan yang dilakukan dan bertaubat.

Memohon keampunan bukanlah sesuatu yang sukar, kerana Allah S.W.T. tidak pernah meletakkan sebarang perantaraan, antara diri Nya dengan hamba Nya. Oleh itu, di mana sahaja tanpa mengira masa, mohonlah pengampunan dengan seikhlas hati. Pastinya permohonan itu akan disambut dengan seluasnya.

Firman Allah surah an-Najm: 32

“Sesungguhnya Tuhan mu Maha Luas Keampunannya”

Berdasarkan firman Allah di atas, terdapat satu kisah yang boleh dijadikan pengajaran bagi menunjukkan betapa luasnya keampunan Allah, sebagaimana yang diceritakan oleh Baginda s.a.w:

“Pada suatu ketika, ada seekor anjing yang mengelilingi sebuah perigi, anjing itu hampir mati kehausan. Tiba-tiba seorang wanita pelacur daripada bangsa Yahudi melihat anjing tersebut, maka dibukanya kasut dan diceduknya air dengan kasut itu, lalu diberinya anjing itu minum. Maka Allah mengampuni dosa-dosa wanita itu disebabkan perbuatannya.”

orang yang bertaubat ibarat biji benih yang menumbuhkan pohon yang subur
Hakikatnya, pengampunan Allah tidak terbatas kepada mereka yang meminta ampun sahaja. Sesiapa sahaja boleh mendapat pengampunan dari Nya, kerana kasih dan sayang Allah melebihi dari amarah Nya.

Kedudukan yang paling tinggi di sisi Allah, adalah kedudukan orang-orang yang bertaubat, sebagaimana yang dikatakan oleh sebahagian ulama. Tiada satu dosa besar yang tidak akan diampunkan oleh Allah, melainkan dosa syirik, iaitu mempersekutukan Nya dengan yang lain.

Oleh itu, sebagai hambanya, janganlah berputus asa dari meminta keampunan dan rahmat Nya secara berterusan. Tidak ada orang yang berputus asa dari rahmat Allah, melainkan orang-orang kafir dan orang-orang yang rugi.

Raihlah keberkatan bulan Syaaban dan Ramadan yang akan datang ini dengan memohon keampunan dari Allah sebanyak-banyaknya, kerana bulan inilah bulan penghapusan dosa dari Allah S.W.T. kerana kita pun tidak tahu bila kita akan dijemput menemui Ilahi. Wallahu a’lam

Latest articles

Related articles

spot_img