“Alhamdulillah, Akhirnya Terjawab”, Keluarga Suri Mahu Pelaku Terima Hukuman Setimpal

KUALA LUMPUR: Penantian ahli keluarga Suri Narudin berakhir apabila identiti mayat wanita yang ditemui di dalam beg dan ditanam berhampiran sebuah rumah kosong di Kampung Batu 4 Pedas, pada 18 Disember lalu, akhirnya disahkan hari ini.

Anak saudara mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Sasha meluahkan rasa syukur selepas menerima pengesahan berkenaan, sekali gus memberi ruang kepada keluarga untuk menguruskan jenazah arwah dengan sebaiknya.

Katanya, beliau sedang dalam perjalanan ke hospital bagi melengkapkan urusan lanjut berkaitan pengebumian.

“Alhamdulillah, akhirnya identiti ibu saudara saya dikenal pasti. Kami sekeluarga berharap dapat menguruskan jenazah arwah secepat mungkin. Dalam masa sama, kami menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh agar pelaku perbuatan kejam ini dibawa ke muka pengadilan,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, rakan karib mangsa yang juga penyanyi, Mac Ruhayu Mohd Nor memaklumkan jenazah Suri, 53, berkemungkinan besar tidak akan dibawa pulang ke Sarawak.

Sebaliknya, pengebumian dijangka dilakukan di Semenanjung, sama ada di kawasan Gombak, Selangor atau Jasin, Melaka, namun keputusan muktamad masih belum dibuat oleh keluarga.

Sebelum ini, polis mengesahkan mayat wanita yang ditemui dalam beg berkenaan adalah Suri Narudin, yang dilaporkan hilang di Ampang, Selangor sejak 8 Disember lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pengesahan identiti dilakukan melalui padanan cap jari dengan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), selain disokong laporan analisis DNA Jabatan Kimia Malaysia yang menunjukkan hubungan kekeluargaan terdekat dengan waris mangsa.

BBerkaitan

Latest articles