Syarikat berteraskan teknologi dalam bidang pertanian Alchetech Intelligence mengorak langkah baru menerokai bidang pertanian berteknologi tinggi bagi mendepani cabaran penghasilan bekalan makanan padi beras berkualiti dan lebih ekonomi pada masa depan.
Melalui program usahasama dengan HYH Biotech Inc dan National Chung Hsing University (NCHU) di Taiwan, Alchetech Intelligence menjangkakan penghasilan benih padi yang sesuai bagi tujuan penanaman di Malaysia.
Ia sekaligus mampu mengoptimumkan pengeluaran padi beras dan benih padi yang kini menjadi antara masalah utama industri ini di Malaysia.
Kolaborasi antara tiga entiti ini tidak hanya memberi fokus terhadap kaedah penanaman tetapi ia turut merangkumi kaedah dan tatacara pengurusan padi ala Taiwan.
Taiwan kini adalah antara negara paling berjaya dan maju dari segi penghasilan padi dan benih padi pelbagai veriati.
Secara strategik kerjasama ini akan membabitkan pemindahan teknologi kepada Alchetech dari sudut penghasilan benih yang mempunyai karakter istimewa seperti beras wangi, lebih panjang, tahan penyakit dan mampu bertahan pada musim panas.
Dari sudut pengurusan pula Alchetech Intelligence berpeluang untuk mempelajari secara praktikal kaedah pengurusan padi dari peringkat awal, seperti penyediaan biji benih, pengurusan benih di tapak semaian, pengurusan air dan jadual penanaman bagi menghasilkan padi bermutu tinggi.