SHAH ALAM: Ahli perniagaan, Albert Tei tampil menjelaskan situasi sebenar di sebalik gambar tular dirinya bersama Tun Dr Mahathir Mohamad, menegaskan pertemuan itu adalah kali pertama dalam hidupnya bertemu bekas Perdana Menteri berusia 100 tahun itu.
Albert atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheng, 37, berkata kehadirannya ke Yayasan Perdana minggu lalu bukan untuk urusan politik, sebaliknya untuk mendapatkan nasihat berkaitan siasatan rasuah yang sedang dihadapinya.
Menurutnya, tularnya gambar tersebut sehingga mencetuskan pelbagai teori konspirasi sangat mengejutkan dan tidak berasas.
“Saya benar-benar terkejut apabila pelbagai spekulasi muncul, kononnya saya ada hubungan politik atau agenda tertentu dengan Tun M. Sedangkan pertemuan itu berlaku buat pertama kali dalam 37 tahun hidup saya,” katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Shah Alam hari ini.
Albert menjelaskan bahawa sepanjang sesi lebih satu jam itu, beliau hanya meluahkan kebimbangan mengenai kes yang dihadapinya serta ancaman keselamatan diterima selepas membuat pendedahan melibatkan beberapa individu.
Dr Mahathir, katanya, sekadar memberikan pandangan berdasarkan pengalaman beliau sebagai seorang negarawan.
“Tun M langsung tidak bertanya tentang politik. Beliau hanya menasihatkan saya agar mengambil langkah sewajarnya. Itu sahaja. Tidak ada agenda, tidak ada cadangan untuk saya berjumpa sesiapa,” katanya lagi.
Albert turut meminta semua pihak menghentikan tuduhan palsu terhadap dirinya dan Dr Mahathir, sambil menegaskan bahawa pertemuan itu hanyalah untuk mendapatkan panduan dan sokongan moral.










