KUALA LUMPUR: Hujah yang digunakan seorang ahli Parlimen bukan Islam dengan memetik ayat al-Quran tidak ada salahnya, itu reaksi Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
Mohd Khairuddin berkata, hujahan ahli Parlimen tersebut sama seperti dihuraikan oleh alim ulama Islam tentang kepentingan ketaatan kepada ulil amri atau pemerintah dalam Islam.
“Ia merangkumi ketaatan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDP) selaku ketua negara dan ketaatan kepada kerajaan YDP Agong.
“Malah kewujudan kelompok Khawarij sebagaimana dihurai oleh alim ulamak Islam dan dipetik juga oleh ahli Parlimen berkenaan adalah tepat dan benar.
“Kerana Khawarij adalah golong yang memberontak dan derhaka kepada pemerintah Islam khususnya Khalifah Uthman dan Khalifah Ali (r.a),” kata Mohd. Khairuddin dalam satu kenyataan m
Bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, sementelah al-Quran adalah kitab ilmu, kitab hidayah dan kitab panduan bagi kehidupan manusia, maka kandungannya boleh menjadi rujukan.
“Sesiapa pun termasuk bukan muslim boleh mengambil pengajaran dan ilmu serta hikmah yang terkandung di dalam al-Quran sebagai hujah akademik atau panduan hidup sebagaimana dihuraikan oleh para alim ulamak Islam.
“Saya mendengar video seorang ahli Parlimen bukan Islam itu berhujah tentang kepentingan ketaatan kepada pemerintah khususnya YDP Agong dan kerajaan yang ditubuh dan diperkenankan oleh YDP Agong dengan memetik maksud firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 59,” jelasnya.
Mohd Khairuddin tidak menamakan ahli Parlimen tersebut bagaimanapun media melaporkan polis Perak melakukan siasatan ke atas Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How.
Pemimpin DAP itu dikatakan membuat tafsiran sendiri terhadap ayat al-Quran susulan video tular baru-baru ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, siasatan diserahkan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Katanya, hanya satu laporan mengenainya diterima oleh Polis Perak iaitu laporan yang dibuat oleh badan bukan kerajaan (NGO), Jalinan Bersatu Sahabat (JABAT) Perak.