Akur Gabungan BN-PH Di Pahang, PN Mahu Jadi Pembangkang Yang Konstruktif

KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) akur dengan gabungan Barisan Nasional (BN) bersama Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan negeri Pahang.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata pihaknya berjanji untuk menjadi pembangkang yang konstruktif di Pahang.

Beliau berkata, sebelum gabungan itu membentuk kerajaan, PN ada membuat rundingan untuk bersama BN, namun parti itu membuat keputusan untuk bersama PH.

“Sebelum keputusan gabungan kerajaan negeri ini dibuat, saya beberapa kali berunding dengan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, untuk cari jalan penyelesaian kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang yang masih tergantung dengan PN memenangi 17 kerusi, BN (16) serta PH, lapan kerusi.

“Sebelum ini, kita (PN) mencadangkan beliau sebagai Menteri Besar melalui muafakat antara PN dan BN dengan pembahagian jawatan EXCO yang sama rata, namun BN membuat keputusan untuk bekerjasama dengan PH.

“Ada cadangan untuk mengadakan penyatuan tetapi pihak kami menolak selepas hanya ditawarkan satu kerusi EXCO daripada 10 kerusi yang ada di negeri ini.

“Kami kemudian memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan pemangku Raja Pahang berhubung pendirian BN selain pihak istana turut memaklumkan bahawa sudah menerima cadangan BN akan bersama PH di Pahang,” katanya ditemui pada Majlis Kesyukuran PAS Kubang Kerian, di Masjid Bandar Satelit Pasir Tumboh, hari ini.

Tambah Tuan Ibrahim, perbincangan akan dilakukan di peringkat kerajaan negeri selain berusaha memberi idea terbaik bagi kemajuan dan pembangunan di Pahang.

PN juga bersedia memberi teguran membina dan dalam masa sama mengharapkan setiap keputusan yang dibuat kerajaan negeri dapat memberi momentum yang terbaik kepada negeri itu.

BBerkaitan

Latest articles