KUALA LUMPUR: Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah menegaskan akujanji yang kononnya setiap calon gabungan itu perlu menyokong Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri adalah palsu.
Malah beliau berkata penyebaran akujanji itu bertujuan memburukkan UMNO dan BN secara amnya.
“Disahkan bahawa akujanji yang disebarkan dan sedang viral ini adalah palsu dan tidak benar. Tiada sebarang akujanji sebegini dilakukan.
“Perkara ini nyata suatu usaha jahat daripada pihak tidak bertanggungjawab dan jelas ia perancangan memburukkan UMNO Barisan Nasional diketika musim PRU 15 ini,” katanya.
Terdahulu tersebar di media sosial sejak lewat petang tadi adalah akujanji yang memaparkan nama Shamsul Anuar kononnya menyokong dan bersetuju menangkat Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO sebagai Perdana Menteri jika BN menang PRU15.
Shamsul Anuar yang akan mempertahankan Parlimen Lenggong pada Pilihan Raya Umum ke-15 melahirkan perasaan kecewa kerana musuh politik UMNO dan BN menggunakan cara kotor itu sebagai kempen pilihan raya.
“Mohon rakyat Malaysia yang mendapat akujanji palsu ini tidak terpengaruh dengannya.
“Pihak saya amat kesal dengan permainan politik sebegini,” kata Shamsul Anuar.