Aktivis Seru Pemimpin Dunia Contohi Anwar Sokong Misi Kemanusiaan Di Gaza

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al Nuri Kamaruzaman menyeru pemimpin dunia mencontohi usaha Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyokong gerakan kemanusiaan Gaza.

Muhammad Nadir juga menyeru pemimpin dari Indonesia, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Maldives, Bhutan, Nepal, Filipina, Thailand dan negara-negara lain bersama-sama menyatakan sokongan terhadap keselamatan rakyat Palestin dan semua peserta Global Sumud Flotilla.

“Kepada mereka yang menonton video ini, dan khususnya daripada Sumud Nusantara, sampaikanlah kepada pemimpin negara anda yang kami menyeru anda untuk mencontohi usaha Perdana Menteri kita yang mengisytiharkan (beliau) penaung Sumud Nusantara,” katanya menerusi satu rakaman video.

Global Sumud Flotilla yang membawa bekalan makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dijadualkan tiba di perairan Gaza pertengahan bulan ini selepas belayar merentasi Laut Mediterranean.

Antara yang menyertai misi itu artis tanah air Zizi Kirana dan Ardell Aryana, serta pendakwah Rahmat Ikhsan atau lebih dikenali sebagai PU Rahmat.

Kumpulan kedua pula melibatkan 15 aktivis Malaysia termasuk pempengaruh Farah Lee dan ZRA Strim atau nama sebenarnya Zainal Rashid Ahmad.

Flotila kemanusiaan itu bertujuan menarik perhatian kerajaan dari seluruh dunia untuk memberi tekanan kepada Israel supaya menghentikan genosid di Gaza dan membenarkan bantuan kemanusiaan disalurkan kepada mangsa yang memerlukan.

Global Sumud Flotilla menghimpunkan gabungan antarabangsa merangkumi Eropah, Asia, Afrika, Amerika Latin dan Asia Barat, menyaksikan semua delegasi yang menyertainya mendukung prinsip tanpa keganasan dan menyifatkan flotila bukan misi kemanusiaan semata-mata malah sebagai simbol kekukuhan perpaduan global bersama rakyat Gaza. – BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles