ISTANBUL: Dua aktivis Malaysia yang menyertai Misi Kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) terpaksa menerima rawatan di sebuah hospital di Istanbul, Turkiye selepas didakwa menjadi mangsa kekerasan tentera Israel ketika ditahan baru-baru ini.
Peguam Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Fahmi Abd Moin, berkata kedua-dua aktivis berkenaan, pelakon Ardell Aryana dan Haikal Abdullah, mengalami kecederaan serta trauma akibat layanan kasar rejim Zionis.
“Ardell memaklumkan beliau mengalami tekanan darah rendah selepas insiden pemintasan. Rambutnya ditarik dan beliau turut ditumbuk di bahagian muka ketika ditahan,” katanya seperti dilaporkan Malaysia Tribune, semalam.
Fahmi menjelaskan, keadaan Ardell kini agak lemah manakala Haikal pula mengalami kecederaan serius di tangan selepas didakwa dipijak tentera Israel, menyebabkan beberapa jarinya terjejas dan memerlukan rawatan lanjut.
Selain mereka berdua, beberapa aktivis Malaysia lain termasuk PU Rahmat, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi turut mendakwa menerima layanan kasar, namun dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pemeriksaan kesihatan setibanya di Turkiye.
Fahmi yang kini berada di Istanbul berkata, CENTHRA akan mengumpul keterangan terperinci daripada semua aktivis Malaysia sebaik mereka pulang ke tanah air.
“Keterangan mereka akan meliputi pengalaman di atas kapal, ketika penahanan dan sepanjang berada di Penjara Ketziot. Semua bukti berkaitan penyeksaan atau layanan tidak berperikemanusiaan akan didokumentasikan,” ujarnya.
Beliau menambah, CENTHRA bercadang untuk memfailkan aduan rasmi kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) bagi memberi tekanan diplomatik terhadap Israel.
“Jika tekanan antarabangsa berjaya diwujudkan, langkah susulan termasuk siasatan dan pendakwaan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) boleh diambil,” katanya.