KUALA LUMPUR: Aktivis Iswardy Morni didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menyiarkan kenyataan berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong di laman Facebooknya empat tahun lalu.
Denda itu dikenakan terhadapnya selepas mengambil kira bahawa beliau tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan yang sama sebelum ini.
Sehubungan itu, bagi pesalah pertama, hukuman maksimum yang boleh dikenakan ialah denda sehingga RM5,000, penjara tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Hakim Datuk M. Edwin Paramjothy turut memerintahkan Iswardy Morni, 48, dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Iznina Hanim Hashim, manakala peguam Faizal Rahman mewakili Iswardy.
Mengikut pertuduhan, beliau didakwa menyiarkan kenyataan menghasut di laman Facebooknya, Iswardy Morni Official, yang mengandungi perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk mendatangkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong. Perbuatan itu dilakukan di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman pada jam 3 petang, 29 Mei 2021.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000, penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.