Aktivis Britain Dilaporkan ‘Hilang’ di Penjara Israel

LONDON: Aktivis kemanusiaan dan wartawan veteran Britain, Yvonne Ridley, dilaporkan hilang selepas ditahan oleh pihak berkuasa Israel ketika menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza baru-baru ini.

Menurut laporan media antarabangsa yang memetik sumber pada Ahad, Ridley, 67, sepatutnya dipindahkan dari Tel Aviv ke Istanbul, namun gagal dikesan selepas proses pemindahan itu.

“Keberadaannya kini tidak diketahui,” lapor sumber berkenaan.

Difahamkan, Ridley bersama sekumpulan aktivis antarabangsa lain sebelum ini ditempatkan di Penjara Ketziot, dan dinafikan akses terhadap ubat-ubatan penting.

Beliau hanya dibenarkan bertemu pegawai konsular pada Jumaat lalu, dengan laporan awal menyatakan keadaan kesihatannya amat membimbangkan.

“Keluarganya dimaklumkan mengenai layanan buruk yang diterimanya. Bekalan ubat asal dirampas dan digantikan dengan ubat lain, namun beliau enggan mengambilnya,” menurut laporan sama.

Ridley merupakan antara hampir 500 aktivis dan pempengaruh dari pelbagai negara yang menyertai misi GSF iaitu satu usaha kemanusiaan untuk memecahkan kepungan haram Israel di Genting Gaza.

Namun, kapal yang dinaiki mereka dilaporkan dipintas tentera Israel sejurus memasuki zon merah di perairan antarabangsa.

Ridley dikenali di peringkat global sebagai wartawan dan aktivis pro-Palestin yang lantang mengkritik kekejaman rejim Zionis, serta pernah menjadi tahanan Taliban pada 2001 ketika bertugas sebagai wartawan perang.

BBerkaitan

Latest articles