Aktif Kembali Berpolitik, Kini PAS Pula Jadi Mangsa Rafizi?

KUALA LUMPUR: PAS menepis serangan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli kononnya parti itu tidak lagi mengadakam ceramah besar-besaran malah menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Nasrudin Hassan menyifatkan kemunculan semula Rafizi dalam arena politik tanah air gagal membawa pembaharuan, sebaliknya hanya menabur fitnah semata-mata.

“Mulanya sewaktu saya mengikuti perkembangan Rafizi yang membuat kemunculan semula untuk kembali memimpin PKR sebagai Timbalan Presiden, saya jangka akan berlaku perubahan besar pada PKR dan gerakan PKR kembali akan menyengat.

“Ternyata tanggapan saya meleset jauh. Sentuhan Rafizi bukan sahaja hambar, malah beliau kembali menghidupkan api-api fitnah dalam ucapan dan siri kempen beliau. Terbaharu beliau sasarkan PAS,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau turut memberi beberapa contoh di mana program-program anjuran PAS mendapat sambutan hangat dan luar biasa tanpa kerahan jentera kerajaan.

Antaranya adalah Himpunan Jentera Pilihan Raya PAS Kedah dan Kempen PAS Pilihanku di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut, Alor Setar pada 22 Julai lalu yang dihadiri ribuan orang serta 780 ahli baharu yang menyertai parti itu.

Selain itu, Himpunan Hijau 3.0 atau H20K anjuran PAS Pahang di Pantai Sepat, Kuantan pada 31 Julai lalu dihadiri kira-kira 20,000 orang manakala Himpunan Jentera Pilihan Raya Pemuda PAS Kedah pada 13 Ogos lalu di Dataran Markaz JPrD Pesu di Pekan Naka pada 13 Ogos lalu dihadiri hampir 5,000 orang termasuk 2,000 anak muda yang menyertai konvoi.

Begitu juga dengan Himpunan Jentera Pilihan Raya PAS Melaka di Pejabat PAS Semabok pada 17 Ogos lalu disertai kira-kira 5,000 orang diikuti Pelancaran Kempen PAS Pilihanku Peringkat Negeri Johor di Pasti Hadi Parit Tarom, Muar pada 20 Ogos lalu dihadiri sekitar 2,000 orang manakala Gelombang Akifi Muslimat PAS di Madrasah Islahiah Diniah, Memali disertai hampir 500 orang.

Yang terbaharu, Himpunan Jentera Pilihan Raya PAS sempena Muktamar Tahunan PAS Ke-68 pada 3 September lalu menyaksikan lautan manusia membanjiri dataran Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut.

Sehubungan itu, Nasrudin mempersoalkan bagaimana Rafizi tergamak menghina kebijaksanaan masyarakat zaman teknologi digital ketika ini, kononnya PAS kini tidak berani lagi mengadakan ceramah besar-besaran.

“Kenapa tidak beliau menggunakan kaedah yang bersih (tanpa fitnah) untuk berkempen dan mengembalikan reputasi PKR ? Atau beliau dan PKR hanya boleh hidup dengan fitnah?” soalnya.

BBerkaitan

Latest articles