KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Akta Pembaharuan Semula Bandar (Akta URA) yang bakal dibentangkan di Parlimen tidak akan menyebabkan mana-mana pemilik rumah atau tanah diusir secara paksa.
Beliau sekali lagi menepis dakwaan segelintir pihak yang memainkan isu berkaitan akta tersebut dan menegaskan bahawa ia tidak akan mengubah peratusan pemilikan bumiputera atau komposisi etnik di sesuatu kawasan.
“Tidak timbul isu Melayu dan bumiputera dipinggirkan daripada arus kemajuan bandar. Matlamat utama akta ini adalah untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat bandar, termasuk masyarakat Melayu,” katanya dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disampaikan oleh Setiausaha Kanan Akhbar Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah menerusi Facebook hari ini.
Sebelum ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan bahawa kerajaan Persekutuan dan negeri akan menyediakan pelbagai insentif bagi memastikan pemilik hartanah asal mendapat manfaat daripada pelaksanaan projek pembaharuan semula bandar (PSB).
Pemilikan hartanah baharu dengan nilai lebih tinggi bertujuan mengekalkan pemilik asal di kawasan yang sama, dengan persekitaran serta infrastruktur yang lebih moden dan bernilai tinggi dari sudut ekonomi.
Kerajaan menegaskan bahawa langkah ini membuktikan tiada unsur rampasan tanah atau hartanah serta menolak dakwaan berlakunya penindasan, pengusiran, atau gentrifikasi dalam pelaksanaan akta tersebut.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk memperkemas penyelarasan jentera agensi Persekutuan dan negeri dalam menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di Sabah dan Sarawak.
Beliau turut menggesa agensi itu agar bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri bagi memastikan bantuan dapat disampaikan dengan cepat dan berkesan kepada ketua keluarga yang terjejas.