Akta 866: MCMC Gubal 10 Undang-Undang Baharu Lindungi Kanak-Kanak Bawah 13 Tahun Dari Platform Media Sosial

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang merangka 10 perundangan subsidiari di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) bagi memperkukuh perlindungan terhadap kanak-kanak di internet, termasuk memastikan kandungan yang dipaparkan adalah selaras dengan tahap umur pengguna bawah 18 tahun.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, menjelaskan bahawa melalui rangka undang-undang baharu ini, penyedia platform digital akan diwajibkan menghalang akses pengguna di bawah umur 13 tahun selain memastikan kandungan yang dipaparkan kepada pengguna bawah 18 tahun adalah sesuai mengikut kategori umur.

Peraturan baharu itu turut mengkehendaki penyedia perkhidmatan menyediakan pilihan tetapan dan kawalan ibu bapa yang lebih jelas serta mudah digunakan.

Sebagai usaha meningkatkan ketelusan industri, semua penyedia perkhidmatan digital juga perlu membentangkan Pelan Keselamatan Dalam Talian sebagai bukti pematuhan mereka terhadap keperluan Akta 866.

“Keseluruhan usaha ini bertujuan mewujudkan persekitaran internet yang lebih selamat, terutama untuk kanak-kanak, keluarga dan kumpulan rentan,” kata Fahmi dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) mengenai kesediaan kerajaan menggubal undang-undang yang melarang remaja bawah 16 tahun menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Instagram atau TikTok.

Fahmi turut memaklumkan bahawa kerajaan sebelum ini telah memperkenalkan beberapa kawal selia tambahan, termasuk mewajibkan penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang memenuhi syarat pelesenan untuk mendapatkan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Langkah itu, katanya, memastikan setiap platform bertanggungjawab dalam kawal selia kandungan serta cara mereka mengurus algoritma.

Bagi menyokong keperluan pelesenan tersebut, MCMC turut menerbitkan Kod Tatalaku untuk Penyedia Perkhidmatan Pesanan Internet dan Media Sosial, yang menetapkan tanggungjawab industri dalam melindungi kanak-kanak daripada kandungan berbahaya.

Ia termasuk keperluan sistem verifikasi umur, fungsi kawalan ibu bapa yang efektif serta ciri keselamatan tambahan untuk melindungi pengguna bawah umur.

“Melalui Akta 866, kerajaan kini mempunyai kerangka kukuh untuk mengawal selia kandungan memudaratkan serta memastikan pemberi perkhidmatan aplikasi dan rangkaian mematuhi obligasi keselamatan dalam talian,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles