Bahau: Polis Negeri Sembilan menahan dua lelaki yang dipercayai individu dalam video tular memaparkan aksi tidak senonoh di dalam sebuah kereta, sekali gus mencetuskan kekecohan di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kedua-dua suspek berusia 19 dan 36 tahun itu ditahan secara berasingan pada Khamis dan Jumaat selepas dua laporan polis dibuat berhubung penularan rakaman tersebut.
Menurut beliau, siasatan mendapati insiden itu berlaku di kawasan Bahau, sebelum video berkenaan mula tersebar luas dan mengundang pelbagai spekulasi.
Polis turut merampas sebuah Perodua Alza serta dua telefon bimbit bagi membantu siasatan.
Alzafny memaklumkan, kes disiasat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan kerana melakukan kelucahan melampau di tempat awam.
Selain itu, pihaknya turut membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terhadap pihak yang menyebarkan maklumat palsu dengan mengaitkan kejadian berkenaan dengan seorang imam di Seremban.
Polis menegaskan dakwaan tersebut tidak benar dan menggesa orang ramai menghentikan penyebaran fitnah serta spekulasi yang boleh menjejaskan nama individu tidak terlibat.










