KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mendakwa tindakan mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta adalah bersifat politik dan mungkin bermotifkan dendam.
Menurut Akmal, kegagalan pihak pendakwa raya menyediakan dokumen penting selepas enam tahun jelas menunjukkan kerapuhan asas pertuduhan tersebut yang dikemukakan ketika era pentadbiran Pakatan Harapan (PH) 1.0.
“Kalau betul ada bukti kukuh, kenapa selepas enam tahun, perbicaraan masih belum bermula dan dokumen pun tidak diperoleh? Ini menunjukkan pendakwaan ini mungkin dilakukan atas niat menganiaya,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Akmal turut membandingkan kes ini dengan isu National Feedlot Corporation (NFC) yang pernah menjadi tumpuan nasional apabila didedahkan oleh Datuk Seri Rafizi Ramli satu ketika dahulu.
“Sama seperti kes lembu NFC yang Rafizi canangkan satu Malaysia, akhirnya mahkamah putuskan tiada kesalahan. Rakyat boleh nilai sendiri siapa yang dizalimi dan siapa yang berbohong selama ini,” tambah beliau.
Kenyataan Akmal itu merupakan respons kepada Rafizi yang meluahkan rasa kecewa terhadap Jabatan Peguam Negara (AGC) kerana masih gagal menyediakan bukti dan dokumen lengkap bagi memulakan perbicaraan terhadap Najib sejak 2019.
Rafizi menyifatkan tindakan memberikan DNAA kepada Najib atas pertuduhan membabitkan RM27 juta dana SRC sebagai satu kegagalan sistem pendakwaan yang melemahkan keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada pagi tadi membenarkan permohonan Najib untuk dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) atas tiga pertuduhan penggubahan wang haram.
Hakim K Muniandy menyatakan pihak pendakwaan tidak bersedia untuk meneruskan perbicaraan walaupun kes telah tergantung selama enam tahun tanpa satu pun keterangan saksi dikemukakan.