Akmal Pelawa Saifuddin, Ahli Bersatu Kembali Kepada UMNO Demi Penyatuan Melayu

KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menghulurkan pelawaan terbuka kepada Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang baru dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai semula UMNO.

Bukan itu sahaja, Dr. Akmal menegaskan tawaran berkenaan turut merangkumi semua ahli Bersatu yang sebelum ini digantung atau dipecat, dengan matlamat mengukuhkan semula kesatuan politik orang Melayu-Islam yang disifatkannya semakin rapuh akibat perpecahan berpanjangan.

Menerusi satu hantaran di Facebook malam tadi, beliau menyeru pemimpin Melayu-Islam agar menghentikan pertelingkahan sesama sendiri dan mengambil iktibar daripada kesilapan lalu kerana perpecahan hanya mengundang kerugian kepada agama serta bangsa.

Menurutnya, sudah tiba masanya kepimpinan Melayu kembali bersatu demi kepentingan negara.

Terdahulu, Lembaga Disiplin Bersatu memutuskan untuk memecat Saifuddin, yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota, daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta selepas mesyuarat yang diadakan semalam.

Pemecatan tersebut dibuat atas dakwaan pelanggaran Klausa 9.1.4 Perlembagaan Bersatu yang berkaitan pematuhan terhadap peraturan dan tatakelakuan parti.

Bagaimanapun, Saifuddin diberikan tempoh 14 hari bermula Selasa untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu dan beliau telah mengesahkan akan berbuat demikian.

Pada November tahun lalu, bekas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang itu dipanggil memberi keterangan kepada Lembaga Disiplin susulan kenyataannya yang menggesa Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, melepaskan jawatan.

BBerkaitan

Latest articles