KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menafikan dakwaan kononnya beliau berhasrat melepaskan jawatan dalam parti, apabila langsung tidak menyentuh sebarang isu pengunduran diri ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), tengah hari tadi.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, Dr Akmal yang baru pulang dari Shanghai, China disambut kira-kira 50 pemimpin dan ahli Pemuda UMNO dari pelbagai negeri termasuk Pulau Pinang dan Kedah.
Katanya, pertemuan ringkas itu lebih tertumpu kepada perbincangan hala tuju perjuangan seterusnya, bukannya soal meletakkan jawatan.
“Beliau hanya menyatakan mahu terus berjuang sampai habis dan memikirkan langkah seterusnya. Tidak ada langsung cerita tentang letak jawatan atau berundur. Malah, beliau terus menaiki penerbangan ke Sandakan pada jam 1.15 tengah hari untuk berkempen bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kinabatangan,” katanya memetik MalaysiaGazette, hari ini.
Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan Dr Akmal dikatakan bercadang melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pemuda UMNO dan ADUN Merlimau.
Laporan itu memetik sumber yang mendakwa mesej berkenaan disampaikan kepada beberapa pemimpin Pemuda UMNO menerusi aplikasi WhatsApp ketika Dr Akmal masih berada di luar negara.










