Akmal: DAP Jangan Putar Belit, Kalau Berani Putus Hubungan Dengan Umno

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh membidas rakan sejawatnya daripada DAP, Woo Kah Leong, dengan menuduhnya memutar belit kenyataan mengenai hubungan sayap parti dalam kerajaan perpaduan.

Akmal menegaskan, Woo seharusnya berani menyatakan pendirian secara terbuka jika mahu memutuskan hubungan dengan Pemuda Umno, bukannya berdolak-dalik.

“Jangan pusing sana-sini. Kalau nak putus hubungan dengan Pemuda Umno, silakan. Malah, desak sekali kepimpinan DAP supaya memutuskan hubungan dengan Umno sepenuhnya. Hanya orang penakut dan bebal saja yang bercakap putar belit,” katanya memetik FMT.

Kenyataan keras Akmal itu hadir sehari selepas Woo menegurnya kerana didakwa gagal memahami konteks kenyataan mengenai kerjasama sayap Pemuda dalam kerajaan perpaduan.

Woo turut menyindir Akmal dengan mengatakan, “Jangan guna Google Translate untuk memahami sesuatu benda, nanti buat kesilapan seperti Pemuda Umno Terengganu dan salahkan orang lain pula. Takkan nak kepung pejabat Google selepas ini.”

Malah, beliau melabel Akmal sebagai “samseng politik” yang sering mempermainkan isu perkauman demi kepentingan politik.

Mengulas tuduhan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau tersebut menolak dakwaan Woo dan menegaskan segala kritikan yang dibuatnya berlandaskan fakta serta isu nasional.

“Tuduhan kononnya saya samseng politik hanya membuktikan Ketua Pemuda DAP ini penakut. Dia pandai pusing cerita, tapi tak berani lawan dengan fakta. Personaliti saya memang begitu, tapi sikap saya bergantung pada siapa yang saya hadapi,” katanya.

Menurut Akmal, setiap kritikan kerasnya sebelum ini termasuk isu Jalur Gemilang adalah berpaksikan asas yang kukuh dan bukannya sekadar mencari publisiti.

BBerkaitan

Latest articles