Akmal Cabar DAP, Amanah Melaka – Kalau Berani, Keluar Kerajaan Sekarang

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Melaka didakwa mampu terus berfungsi seperti biasa walaupun tanpa penglibatan wakil daripada DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) dalam pentadbiran negeri.

Perkara itu ditegaskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau yang juga Exco Kesihatan dan Anti Dadah Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh, susulan polemik berhubung kedudukan dua parti berkenaan dalam Kerajaan Perpaduan negeri.

Menurut Dr Muhamad Akmal, DAP dan Amanah Melaka tidak perlu menunggu Ketua Menteri membawa isu tersebut ke dalam mesyuarat Exco sekiranya benar-benar berhasrat menarik diri daripada pentadbiran kerajaan negeri.

Malah, beliau mencabar mana-mana ADUN daripada kedua-dua parti itu supaya membuat pengumuman keluar secara terbuka tanpa perlu menunggu sebarang keputusan rasmi kerajaan negeri.

“Kepada Amanah dan DAP Melaka, kenapa perlu tunggu Ketua Menteri bawa perkara ini ke mesyuarat Exco? Kalau rasa berani untuk keluar, keluarlah sekarang. Tak perlu tunggu mesyuarat Exco kerajaan negeri pun,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat susulan cabaran Ketua Amanah Melaka yang sebelum ini meminta Dr Muhamad Akmal membuktikan kesungguhannya untuk menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan dengan memulakan langkah itu di peringkat negeri Melaka.

Dalam perkembangan berkaitan, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Melaka daripada DAP, Allex Seah, turut menyatakan kesediaannya meletakkan jawatan sekiranya Kerajaan Perpaduan negeri dibubarkan.

Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal menjelaskan bahawa konvensyen khas Pemuda UMNO yang berlangsung semalam menyuarakan desakan agar pimpinan parti itu menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan dan memilih untuk menjadi pembangkang yang bermaruah.

Namun, beliau menegaskan bahawa tuntutan itu tidak melibatkan desakan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk membawa isu berkenaan ke mesyuarat Kabinet.

“Kami sedar keputusan untuk kekal atau keluar adalah keputusan parti, bukan keputusan kerajaan. Maka, keputusan parti perlu dibuat oleh parti itu sendiri,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles