Akhirnya Sittah Annur Bertaubat, Kembali Kepada Islam Sebenar

Akhirnya Sittah Annur Bertaubat, Kembali Kepada Islam Sebenar

KUALA LUMPUR: Pengasas ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT), Sittah Annur, melafazkan taubat di Dewan Syarahan dan Muzakarah, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, hari ini.

Sittah, atau nama sebenarnya, Masitah Ab Jalar, 39, yang berasal dari Kelantan itu berkata pengisytiharan taubat tersebut tidak dipaksa oleh mana-mana pihak selain benar-benar menyesal dan insaf dengan perbuatannya.

Masitah hadir ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah memakai baju berwarna merah jambu dan kelihatan tenang ketika membaca teks pengisytiharan taubat dan seterusnya melafazkan dua kalimah syahadah sebelum menandatangani dokumen tersebut.

Lafaz taubat Masitah berlangsung pada jam 11.44 pagi tadi dan disaksikan seramai empat orang saksi.

Saksi pertama, Mufti Selangor, Sahibus Samahah Datuk Dr. Anhar Upair; saksi kedua, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad; saksi ketiga, Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor, Dr. Ahmad Shahir Makhtar dan saksi keempat, Pengarah Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan Pendakwaan Syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohd Ansor Rullah Mohd Hassim.

Antara isi kandungan teks pengisytiharan taubat yang dibaca oleh Masitah termasuklah pengakuan terhadap perkara-perkara yang dilakukannya seperti yang tersebar di media sosial selain menyeru pengikutnya untuk turut sama bertaubat.

Masitah, sebelum ini mencetuskan kebimbangan orang ramai, terutama dalam kalangan masyarakat Islam apabila dia mendakwa akan berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah serta memimpin pasukannya mencari Imam Mahdi untuk melawan musuh.

Bukan itu sahaja, Masitah mendakwa dirinya memiliki keistimewaan dan berupaya membuat ramalan berkaitan apa akan berlaku pada masa hadapan selain mendakwa boleh berhubung terus dengan Allah S.W.T, malaikat dan Nabi Muhammad S.A.W.

Susulan beberapa laporan polis yang dibuat pelbagai pihak, Masitah ditahan polis pada 3 September lalu.

Hasil serbuan pihak berkuasa di kediamannya juga menemukan resit berjumlah RM84,721, dipercayai hasil sumbangan pengikutnya.

Komen

Berkaitan

Media Sosial

19,954FansLike
3,682FollowersFollow
20,500SubscribersSubscribe

Terkini