KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan keputusannya untuk bertanding jawatan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah direstui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sehubungan itu beliau memaklumkan akan menamatkan tempoh perkhidmatannya sebagai menteri pada Disember ini.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata pertimbangan itu diberikan Anwar supaya dirinya dapat menumpukan perhatian penuh kepada pembangunan badminton negara.
“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada BAM yang telah mencalonkan saya sebagai salah satu calon Presiden BAM bagi tempoh 2025 hingga 2030.
“Saya juga berterima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang telah bersetuju memberi saya peluang untuk bertanding, dengan mengambil kira bahawa saya masih berkhidmat sebagai menteri sehingga hujung tahun ini,” katanya ketika ditemui di program ‘Iftar Kasih Ukhwah Yayasan TZA bersama Kolej Komuniti Kelana Jaya yang turut mendapat perkenan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah malam tadi.
Terdahulu Tengku Zafrul diajukan bagaimana keadaan beliau sebagai seorang menteri bertanding jawatan dalam persatuan sukan.
Dalam masa yang sama, Tengku Zafrul melahirkan rasa terharu selepas mendapat pengiktirafan BAM selepas dicalonkan sebagai calon Presiden bagi menggantikan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, yang telah menerajui BAM sejak 2017.
Pemangku Presiden BAM Datuk V Subramaniam mengumumkan bahawa majoriti ahli majlis BAM mencapai kata sepakat untuk mencalonkan Tengku Zafrul sebagai presiden baharu.