KUALA LUMPUR: Al Kauthar Eduqids (AKE – HQ) memulakan siasatan dalaman susulan dakwaan insiden penderaan yang dikaitkan dengan salah sebuah pusat taska di bawah jenamanya.
Dalam satu kenyataan, AKE memaklumkan pihaknya turut memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus dan menyeluruh.
Menurut kenyataan itu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang berkaitan dengan kejadian terbabit telah diserahkan kepada pihak polis bagi membantu proses siasatan.
Dalam pada itu, AKE turut membuka saluran aduan rasmi melalui emel [email protected] bagi membolehkan orang ramai menyalurkan sebarang maklumat atau laporan berkaitan insiden seumpama itu di mana-mana premis di bawah jenama berkenaan.
Pihak pengurusan juga merayu semua pihak agar tidak membuat spekulasi serta memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan tanpa gangguan.
“AKE – HQ sentiasa menjadikan keselamatan dan kebajikan kanak-kanak sebagai keutamaan utama dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlakuan yang menjejaskan mereka,” menurut kenyataan itu.
Tambah AKE, sebarang perkembangan lanjut berhubung kes berkenaan akan dimaklumkan melalui saluran rasmi mereka dari semasa ke semasa.
Semalam, pempengaruh media sosial Caprice menerusi akaun Instagramnya berkongsi video pendedahan seorang bekas pelatih sebuah taska di Shah Alam yang mendakwa seorang kanak-kanak autisme dikurung di dalam bilik stor.
Rakaman itu turut memaparkan seorang bayi menangis teresak-esak dipercayai dipaksa menyusu, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dan kecaman dalam kalangan netizen di media sosial.










