KUALA LUMPUR: UMNO juga pernah berdepan dengan situasi dimana akaun banknya dibekukan sebaik sahaja Pakatan Harapan (PH) mengambilalih pentadbiran negara selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14, lima tahun lalu.
Sehubungan itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Puad Zarkashi ‘mengingatkan’ Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk belajar daripada pengalaman UMNO apabila akuan parti itu dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Muhyiddin pada semalam memberi alasan tindakan membekukan akaun Bersatu menyebabkan parti itu berdepan masalah untuk membayar gaji para petugas parti itu.
“Muhyiddin mohon supaya SPRM batalkan pembekuan akaun parti Bersatu. Alasannya parti itu akan sukar membayar gaji staf.
“Ini Muhyiddin kena belajar dengan UMNO. Sengsaranya UMNO bila akaun kena beku. Bertahun akaun UMNO kena beku. Baru dua hari lepas rayuan membekukan akaun UMNO ditarik balik,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu Muhyiddin berkata, Bersatu sudah menghantar surat kepada SPRM bagi membatalkan pembekuan akuan parti itu.
Bekas Perdana Menteri itu juga menambah, sebagai sebuah organisasi besar, pembekuan akaun akan menyebabkan kerja politik politik terutama membayar sewa pejabat, gaji kakitangan dan perkara berkaitan pengurusan parti tidak dapat dilakukan.
“Ini juga menjejaskan kelancaran Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi kerana Bersatu adalah sebuah parti yang penting dalam gabungan itu,” katanya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum ini mengesahkan membekukan dua akaun parti Bersatu.
Menurutnya, pembekuan akaun itu bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan berhubung salah laku yang didakwa dilakukan pemimpin parti tersebut dipercayai melibatkan lebih RM300 juta.
Pada Jun 2018, sebulan selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri, UMNO turut berhadapan masalah yang sama apabila SPRM membekukan akaun parti itu.
Sejumlah RM193 juta milik parti itu dan beberapa pihak disita kerana didakwa berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bagaimanapun pada 7 Februari 2020, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa wang UMNO yang dibekukan oleh kerajaan pada 2018 bukan daripada Datuk Seri Najib Razak yang dikaitkan dengan 1MDB.
Pada 30 Januari lalu, pihak pendakwaan juga menarik balik rayuannya untuk melucut hak wang berjumlah RM21.7 juta milik 11 entiti dan individu termasuk UMNO Bahagian Pekan serta Badan Perhubungan UMNO Johor yang didakwa ada kaitan dengan dana 1MDB.