KUALA LUMPUR: AirAsia mencuri perhatian industri penerbangan apabila mengumumkan dasar pakaian seragam baharu yang membenarkan semua kru kabin wanita memilih untuk berhijab ketika bertugas di mana-mana laluan penerbangan.
Langkah yang disifatkan sangat progresif itu turut menerima pujian daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.
Menurut beliau, keputusan tersebut menunjukkan kematangan pihak pengurusan AirAsia dalam memahami keperluan pekerja Muslimah serta menghormati tuntutan agama mereka.
“Saya mengucapkan tahniah kepada AirAsia atas keputusan inklusif ini yang menyerlahkan komitmen terhadap kepelbagaian dan keterangkuman,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Mohd Na’im turut merakamkan penghargaan kepada para asatizah dan pihak-pihak yang terlibat dalam sesi rundingan dengan syarikat penerbangan itu sehingga dasar seragam baharu tersebut berjaya dimuktamadkan.
Beliau berharap pendekatan itu akan menjadi contoh yang boleh diikuti syarikat korporat lain dalam menjaga hak dan kebebasan beragama pekerja, selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan nilai Malaysia Madani.
Media semalam melaporkan AirAsia kini memperluaskan pemakaian hijab, yang sebelum ini hanya diwajibkan di laluan tertentu seperti Jeddah, kepada keseluruhan rangkaiannya.
Seragam baharu itu bakal menampilkan rekaan hijab dan seluar khas yang sepadan dengan uniform merah ikonik AirAsia bagi memberi keselesaan, keyakinan serta kebebasan berpakaian mengikut kepercayaan masing-masing.
AirAsia merancang memulakan pelaksanaan penuh dasar itu menjelang Ramadan 2026.










