KUALA LUMPUR: Pemilik akaun media sosial bernama Ainon Mohd yang mencetuskan kontroversi kerana mengaitkan Nabi Muhammad SAW dengan amalan nepotisme dan kronisme telah bersetuju untuk membuat permohonan maaf serta menarik balik hantaran berkenaan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memaklumkan bahawa pihaknya telah menegur dan menasihati Ainon agar lebih berhati-hati dalam memuat naik kandungan berunsur Islam.
JAKIM turut menggesa supaya sebarang maklumat berkaitan agama Islam dirujuk kepada pihak berautoriti bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak tepat.
“Beliau bersetuju untuk memadam hantaran tersebut, mengemukakan permohonan maaf, serta berjanji tidak akan mengulangi perkara yang sama. Ainon juga berikrar untuk lebih berhati-hati dalam sebarang penulisan pada masa hadapan,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, JAKIM telah memanggil dan mengadakan pertemuan dengan Ainon berhubung hantaran yang dibuatnya di media sosial.
Pertemuan tersebut turut disertai pegawai dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Negeri Selangor.
JAKIM dalam kenyataannya turut menyeru agar semua pihak mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan kekeliruan serta kegelisahan dalam kalangan masyarakat, terutamanya yang menyentuh kemuliaan Nabi Muhammad SAW sebagai utusan Allah.
“JAKIM menghargai usaha para penerbit buku di Malaysia dalam mendidik masyarakat melalui bahan bacaan sebagai salah satu medium dakwah. Namun, JAKIM berharap agar semua pihak lebih berhati-hati dan tidak sewenang-wenangnya membuat rujukan terhadap Nabi Muhammad SAW demi menjaga kesucian dan martabat baginda,” jelas kenyataan itu lagi.