KOTA TINGGI: Tidak seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu, kini sokongan rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) sudah semakin baik.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi percaya hal itu boleh dibuktikan UMNO dan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.
Situasi ini sekaligus menolak dakwaan parti-parti tertentu kononnya UMNO dan BN ‘tidak laku’ di Johor.
Ahmad Zahid turut melahirkan keyakinan yang tinggi dengan kuasa jentera UMNO dan BN dalam membantu calon berkempen dan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
Jelasnya, struktur jentera parti itu yang telah disusun awal sebelum DUN dibubarkan.
Menurutnya, apabila parti itu melancarkan pusat operasi di peringkat zon untuk tujuan desentralisasi, UMNO telah mengagihkan kuasa pusat agar tidak tertumpu kepada hanya satu kawasan atau peringkat.
“Biarpun kita mempunyai command centredi Johor Bahru, apabila operasi desentralisasi dilakukan, kita dapat lihat jentera kita bukan hanya memberikan tumpuan di zon-zon, tetapi juga di peringkat DUN,” katanya ketika hadir ke Bilik Gerakan Utama (BGU) BN di Johor Lama untuk menyantuni jentera parti dan berjumpa calon N36 Sedili, Muszaidi Makmor dan calon N37 Johor Lama, Norliza Noh.
Pengerusi BN itu turut menambah, jentera-jentera tempatan perlu memberikan tumpuan di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM).
”Kita pun dah melakukanhead countmengira pengundi-pengundi tegar dalam kalangan ahli-ahli UMNO, bukan setakat tu sahaja, kita pun beri tumpuan juga kepada parti-parti ”rakan” untuk berjuang bersama sama kita”.
”Ramai juga individu tertentu telah datang kepada BN untuk menawarkan perkhidmatan dan mereka bantu kita secara tidak langsung, termasuk juga jentera-jentera BN sendiri, jentera dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk veteran-veteran daripada pelbagai parti datang membantu kita,” ujarnya.