BAGAN DATUK: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masih kekal sebagai calon tunggal Perdana Menteri jika BN menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Tiada isu beliau (Ismail Sabri) bukan calon PM (Perdana Menteri) (jika BN menang), kita lihat poster beliau (Ismail Sabri) ada di mana-mana termasuk di Bagan Datuk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Zahid berkata walaupun Ismail Sabri tidak memegang jawatan paling tinggi parti, itu bukan isu yang perlu diperbesarkan.
Namun begitu, Ahmad Zahid berkata, pemilihan akhirnya tertakluk kepada perkenan yang Yang di-Pertuan Agong.
Jelas beliau, apa yang penting bagi BN ketika ini ialah harus melepasi jumlah kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan.
“Jadi, perkara itu tidak perlu ditimbulkan kerana proses untuk menjadi Perdana Menteri bukan hanya di tangan parti politik yang mempunyai gabungan parti-parti yang pelbagai tetapi juga kita harus menghormati kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong,” jelasnya.
Ahmad Zahid yang juga calon BN Parlimen Bagan Datuk, berkata demikian mengulas dakwaan pembangkang yang mengatakan satu undi kepada BN bersamaan satu undi untuk Ahmad Zahid menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Kata Ahmad Zahid, pembangkang akan menggunakan apa sahaja isu yang boleh memberi kemenangan kepada mereka.
“Apa yang penting BN perlu melepasi jambatan sokongan daripada rakyat dan cukup jumlah kerusi (Parlimen) untuk BN membentuk kerajaan, itu kita berikan keutamaan,” tegasnya.