KUALA LUMPUR: “Selamat maju jaya,” demikian ucap Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada 10 Warloads UMNO yang dijangka akan menyertai parti lain iaitu Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ahmad Zahid berkata, tanpa kehadiran mereka tidak akan mengubah imej dan identiti UMNO bahkan katanya situasi sebegini bukan pertama kali berlaku.
“Ada soalan yang dibisikan kepada saya tentang 10 Warloads dari UMNO yang mungkin pertama kali tidak dapat hari ke Perhimpunan Agung UMNO…dan saya dimaklumkan mereka berhasrat untuk menyertai parti-parti lain, saya ucapkan selamat maju jaya.
“Telah beberapa kali dalam UMNO berlaku, tetapi UMNO tetap UMNO,” katanya pada sidang media di Laman Media pada Pehimpunan Agung UMNO 2023 (PAU2023), di WTCKL, hari ini.
Dalam pada itu, mengulas mengenai tuntutan Ketua Pemuda UMNO terhadap DAP, Ahmad Zahid berkata tidak timbul lagi isu DAP perlu membuat permohonan maaf kepada UMNO atas semua tohmahan yang dilemparkan sebelum ini bagi membuktikan parti itu ikhlas menjalinkan persahabatan bersama UMNO.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan perkara itu telah dipersetujui kedua-dua pihak dalam perundingan sebelum bersetuju untuk membentuk kerajaan.
“Perkara ini tidak perlu timbul lagi kerana mereka telah mengatakan perkara ini beberapa kali malah di dalam perundingan kita untuk membentuk kerajaan pun itu perkara utama.
“Mereka setuju 100 peratus dan tak perlu kita ulangi lagi perkara yang mereka telah persetujui,” katanya pada sidang media di Laman Media pada Pehimpunan Agung UMNO 2023 (PAU2023), di WTCKL, hari ini.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Saleh menerusi ucapan beliau di PAU2023, berkata jika sebelum ini DAP boleh membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengapa tidak melakukan perkara sama kepada UMNO.