KUALA LUMPUR: Rombakan kabinet boleh berlaku antaranya kerana kekosongan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga tidam menolak bayangan berlaku rombakan Kabinet di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.
“Mesti ada (rombakan). Saya fikir dalam waktu terdekat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perjumpaan Khas Bersama Kepimpinan UMNO Bahagian Putrajaya hari ini.
Ditanya desas-desus bakal dilantik mengetuai Kementerian Dalam Negeri susulan rombakan itu, Ahmad Zahid berkata, beliau sedia menerima apa jua tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.
“Saya pun lihat poster begitu tetapi Perdana Menteri belum bagitahu saya. Sebenarnya kementerian mana pun saya pergi, saya bersedia sebab yang pentingnya Kabinet ini buat keputusan secara konsensus.
“Biarpun saya memegang Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah tetapi pada waktu yang sama, Perdana Menteri letakkan saya menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kabinet, Jawatankuasa Peringkat Tinggi serta Pasukan Petugas yang melibatkan pelbagai kementerian dan saya lakukan perkara itu demi kepentingan Kerajaan Perpaduan yang ada,” katanya.
Malah sebagai Presiden UMNO serta Pengerusi Barisan Nasional, Ahmad Zahid berharap Kementerian Wilayah dan Persekutuan dapat diwujudkan semula dalam rombakan Kabinet terbaharu.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu pernah dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri dari 2013 hingga 2018 di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. – BERNAMA