Ahmad Zahid Tak Pecat Annuar Walau Didesak 147 Ketua Bahagian, Cuba Sangka Baik

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan beliau sentiasa cuba bersangka baik dengan bekas Setiausaha Agung parti, Tan Sri Annuar Musa, meskipun dirinya menerima desakan untuk mengambil tindakan.

Menjawab dakwaan bekas Ahli Parlimen Ketereh itu kononnya ramai ahli UMNO akan keluar parti menjelas Pilihan Raya Negeri (PRN) ini, Ahmad Zahid menegaskan ‘hakikat’ lebih ramai ahli parti yang akan lari jika Annuar masih bersama dan memegang jawatan UMNO .

Menurut Ahmad Zahid lagi, beliau didesak oleh 147 daripada 191 ketua bahagian UMNO seluruh negara supaya melucutkan jawatan Annuar daripada parti sebelum ini.

“Tetapi perkara itu saya tidak lakukan (lucut jawatan). Jadi, saya terus bersangka baik pada beliau.

“Ingat beliau kalah bertanding timbalan presiden kerana beliau ketika itu mahu meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen Ketereh dan meletakkan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Ketereh,” katanya di sidang media selepas mengadakan lawatan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kantan Permai sempena Pilihan Raya Negeri (PRN), hari ini.

Kritikan Ahmad Zahid itu menjawab dakwaan Annuar, yang juga Pengerusi Muafakat Nasional (MN) berkenaan satu pengumuman berkenaan sekumpulan pemimpin dan ahli UMNO yang mahu keluar parti, menerusi satu sidang media pada 4 Ogos ini yang turut dihadiri Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, bagi menjaga solidariti perjuangan pemimpin UMNO sama ada yang menang atau kalah ketika itu, beliau telah membuat keputusan meletakkan Annuar sebagai Setiausaha Agung UMNO.

Selepas Annuar menjadi Setiausaha Agung UMNO dan apabila terbentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN), beliau telah mencadangkan Annuar menjadi menteri penuh kerana hierarki jawatannya yang tertinggi dalam parti hingga akhirnya beliau diletakkan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu.

“Saya tidak mahu menuduh beliau sakau tetapi itulah yang orang kata, bukan saya yang kata.

“Jadi, dengan dalam keadaan macam ini, bila dah gila talak politik kerana beliau tidak relevan dengan UMNO dengan jumlah 147 ketua bahagian yang tidak sukakan beliau, maka apa yang saya buat tidak mahu memalukan beliau.

“Saya letakkan beliau sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN). Jadi, dalam keadaan yang begitu beliau masih lagi buat kerenah. Jadi, apa yang saya buat saya tentulah mengambil tindakan politik yang sepatutnya,” tegasnya.

Ahmad Zahid menegaskan, lebih baik sekiranya beliau menutup aib orang daripada mendedahkan banyak perkara.

Bagaimanapaun, beliau mengingatkan Annuar supaya mengambil tingkah perjuangan mengikut parti yang disertainya sekarang.

“Apa yang parti itu dapat janjikan pada rakyat, itu lebih penting daripada mengata orang, tambah mengata parti yang telah banyak berjasa pada beliau secara peribadi.

“Ingat, jangan pernah jadi ‘kaduk naik junjung’ dalam perkara ini dan saya tidak mahu cakap lebih daripada itu.

“Biarlah masyarakat menilai khususnya masyarakat Ketereh dan Kelantan,” tambah Ahmad Zahid.

BBerkaitan

Latest articles