KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, menyeru seluruh jentera Barisan Nasional (BN) untuk kekal fokus dan memanfatkan sepenuhnya tempoh 14 hari berkempen ini untuk memenangkan BN, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Ingatlah kita sedang menggalas sebuah kisah perjuangan BN yang ikhlas dan jauh lebih mustahak berbanding perjuangan sosok tertentu.
“Kita sudah mara sejauh ini sejak PRU14 dan menghampiri destinasi, maka jangan terhenti langkah dan sematkan perjuangan kita semata-mata adalah BN,” katanya menerusi facebook, malam ini.
Ahmad Zahid berkata, pihak lawan tidak akan berhenti menyebarkan fitnah dan propaganda terhadap pemimpin BN, seperti dilakukan pada PRU14.
Justeru itu, beliau mengingatkan semua barisan jentera BN agar tidak tewas dengan perang psikologi pihak lawan.
Ini kerana katanya, pihak lawan tahu bahawa kekuatan BN terletak pada muafakat jutaan ahlinya sepertinya yang diterjemahkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, sebelum ini.
“Mereka sedang berusaha mengadu domba tentang kepimpinan BN dengan harapan ada penyokong BN yang terpedaya seperti 9 Mei 2018.
“Sehingga masing-masing gigih menyebarkan naratif palsu konon sokong BN bermakna sokong PH atau sokong BN bermakna sokong PN.
Tambah beliau, parti lawan pastinya akan menggunakan strategi menyerang kepemimpinan BN, terutamanya beliau kerana melihat perkara itu sebagai ancaman politik mereka.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, BN pada PRU15 menampilkan calon terdiri daripada gandingan muka lama yang berpengalaman dan muka baharu yang sarat dengan pengetahuan.
Malah beliau memberi jaminan, calon BN yang diketengahkan ini mampu beri perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan negara sekali gus mengorak sebuah muafakat rakyat.
“Calon ini bukan saja dikenal pasti memiliki ciri-ciri ‘WALI’ ditetapkan BN iaitu boleh menang, diterima dan disukai.
“Mereka ini adalah ‘best of the best’ daripada BN untuk menggalas amanah parti dan rakyat memastikan kestabilan demi kemakmuran di Malaysia.
“Calon BN ini juga yang telah disaring dan diketahui tidak beralih kepada naratif politik berbeza ketika sebagai pembangkang mahupun kerajaan,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut meminta agar semua pemimpin UMNO yang tidak tercalon pada PRU-15 tidak meratap perkara berkenaan, sebaliknya terus bertaut pada perjuangan BN.
“Ada akar umbi bertanya mengapa BN mengambil tidak mencalonkan nama tertentu untuk memberi peluang kepada muka baharu.
“Pada saya inilah pengorbanan yang harus dilakukan demi memastikan BN memenuhi aspirasi kestabilan dan kemakmuran negara.
“Pemimpin datang dan pergi. Saya juga tentunya apabila telah tiba masa dan ketikanya suatu hari nanti perlu memberi laluan kepada yang baharu,” katanya.
Beliau pada masa sama turut berterima kasih kepada pemimpin UMNO yang tidak tercalon kerana kekal bersama BN malah memberi sokongan penuh kepada calon-calon baharu.