Ahmad Zahid Percaya Pelantikan Tengku Zafrul Mampu Kukuhkan UMNO, BN

SHAH ALAM: Pelantikan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor adalah bertepatan dengan masa, sekaligus memberi ruang kepada Menteri Kewangan itu berkecimpung dalam politik tanah air.

Perkara itu ditegaskan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sambil menambah beliau percaya langkah itu amat berpatutan apatah lagi Tengku Zafrul telah menjadi ahli UMNO hampir 30 tahun.

Sebelum ini Datuk Seri Jamal Md Yunos memegang jawatan berkenaan.

“Tan Sri Noh Omar telah mengadakan perbincangan dengan saya, saya telah memberikan pandangan, ini adalah langkah permulaan untuk beliau terjun sebagai orang politik.

“Saya fikir kesesuaian itu adalah kerana, mungkin kerana beliau boleh menyumbang dengan mengisi kekosongan jawatan itu yang telah diserahkan oleh Datuk Seri Jamal Md Yunos.

“Peluang itu adalah yang terbaik bukan sahaja kerana beliau dikenali tapi tentu beliau mempunyai hasrat untuk terlibat secara langsung dalam parti politik,” katanya kepada pemberita selepas Konvokesyen BN Selangor, di sini, hari ini.

Terdahulu, Noh yang juga Pengerusi BN Selangor mengumumkan pelantikan Tengku Zafrul sebagai Bendahari BN Selangor yang baharu pada majlis penutupan Konvensyen BN Selangor di Pusat Konvensyen Setia City, semalam.

Selain itu, Jamal yang juga penyandang jawatan itu dan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar dilantik sebagai Pengarah Komunikasi BN Selangor yang baharu bagi mengganti kekosongan ditinggalkan Isham Jalil sebelum ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga tidak menafikan Tengku Zafrul merupakan calon yang sesuai untuk jawatan itu selain menjadi ahli UMNO sejak 29 tahun lalu.

“Beliau pernah menjadi ahli UMNO Cawangan Jalan Travers sejak 1993 lagi.

“Saya fikir beliau juga adalah anak Selangor dan kesesuaian itu adalah tepat untuk Tengku Zafrul menerima tawaran jawatan itu,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pihak tidak akan membebankan Tengku Zafrul untuk membawa kemenangan BN di Selangor, sebaliknya masih mencari tokoh lain dalam kalangan profesional untuk menebus kekalahan dalam PRU15.

“Kita mencari tokoh-tokoh yang mempunyai ‘heavyweight’, tidak semestinya Tengku Zafrul, mungkin ada tokoh-tokoh lain dalam kalangan ahli profesional dan korporat yang boleh diketengahkan,” katanya.

Katanya, Ahmad Zahid turut mengingatkan pemimpin BN di setiap peringkat untuk bersedia memberi laluan kepada calon-calon yang boleh memenangkan parti itu.

“Pemimpin UMNO dan BN Selangor kena berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk menerima sesiapa sahaja yang akan terpilih sebagai calon.

“Ini kerana kita mahukan agar Selangor akan kembali ke julang pentadbiran BN dan UMNO,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles